3.1 Pengenalan
APAKAH ETIKA?
Ahli sosiologi terkenal, Raymond Baumhart (1968) bertanya beberapa
ahli perniagaan, “Apakah makna etika bagi anda?” Antara jawapan yang diberi
ialah:
Etika berasal daripada perkataan Greek “ethos‟ yang bermakna
watak atau adat resam.
Adat resam masyarakat membentuk watak manusia. Kini istilah etika
dikaitkan dengan kemoralan dimana individu dalam sesuatu masyarakat bertindak
tertakluk kepada budi pekerti moral yang dipersetujui (Keith Goree, 1966).
Memang sukar menentukan maksud „etika‟. Berikut ialah beberapa definisi etika:
- Kamus Dewan Bahasa & Pustaka (1995) mentakrif etika sebagai nilai-nilai yang menjadi pegangan seseorang atau sesuatu kumpulan.
- Institut Integriti Malaysia (2007) mendefinisikan etika sebagai himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion.
- Kamus Oxford (1994) mendefinisi etika sebagai prinsip moral.
- Mackie (1977) mendefinisikan etika sebagai disiplin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu tindakan.
- Velasquez, Andre, Shanks, dan Meyer (1987) mentaktif etika sebagai standard salah dan betul yang harus dilakukan manusia untuk memastikan keadilan.
- Sharifah Alwiah Alsagoff (1984) mentakrif etika sebagai satu set peraturan tingkah laku yang meletakkan apa yang harus dibuat dan jangan dibuat.
- Dalam Islam, etika ialah tingkah laku baik yang dituntut al-Quran dan Hadith.
Etika merupakan salah satu bidang falsafah yang mengkaji tentang “betul‟
dan “salah‟ dalam kehidupan seharian manusia.
Etika adalah penting, kerana ia menentukan tindak-tanduk manusia. Tanpa
berpegang kepada suatu kod etika, segala usaha manusia akan gagal.
3.2 Kod Etika Profesional
Perkhidmatan yang diberikan oleh golongan profesional seperti
jurutera, doktor, arkitek, peguam, akauntan dan lain-lain amat penting dalam membangun
dan mempertingkatkan kesejahteraan hidup sesuatu masyarakat. Dalam Bab 1
dinyatakan bahawa setiap profesion mempunyai kod etika yang tersendiri.
Adalah penting ahli-ahli sesuatu profesion memberikan perkhidmatan
dengan penuh dedikasi, jujur dan amanah. Tidak dapat dinafikan bahawa ahli
sesuatu profesion sentiasa berhadapan dengan berbagai-bagai dilema etika yang
kalau tidak ditangani dengan baik akan menjejaskan imej dan profesion
berkenaan.
Seorang profesional yang mempunyai kesedaran etika yang rendah
akan mudah terjerumus dalam perbuatan salah laku (tidak beretika)
seperti perbuatan mengambil rasuah, melakukan penipuan, pecah amanah,
mementingkan diri sendiri
dan lain-lain. Contohnya,
peguam yang melarikan duit klien atau akuantan mendedahkan maklumat perbadi
kliennya. Kalau perbuatan ini berterusan dan berleluasa sudah pastilah
masyarakat akan menanggung akibatnya. Oleh itu, pengetahuan dan penghayatan
etika harus disemaikan dikalangan semua ahli sesuatu profesion. Kod etika
merupakan garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti,
produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan kepada
aspek-aspek yang berkaitan dengan peraturan, peranan nilai, serta tingkahlaku
profesion.
3.3 Fungsi Kod Etika Profesional
Kod etika professional adalah salah satu 'alat kawalan' sosial
yang digunakan sebagai panduan mengawal selia tingakah laku ahli sesuatu
profesion. Kod etika professional mempunyai EMPAT fungsi utama: (Lihat Rajah
3.1).
1. Pedoman:
- Kod etika menggariskan standard tingkah laku yang harus dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya bagi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.
- Kod etika professional mengelaskan pelbagai perkara yang boleh dilakukan dan yang mana tidak boleh dilakukan.
- Kod etika mengingatkan ahli-ahli mengenai tingkahlaku yang patut dipamerkan apabila berada di dalam sesuatu keadaan.
- Secara tidak langsung, kod etika menentukan kerja ahli-ahli dijalankan dengan lebih baik dan teratur.
Rajah 3.1: Fungsi Etika Profesional |
2. Pencegahan Dan Disiplin:
- Kod etika digunakan badan-badan professional atau pihak tertentu (seperti Kerajaan) sebagai asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahlinya
- Berdasarkan aduan yang terima, penyiasatan dilakukan untuk menentukan sejauh manakah seorang ahli telah melanggar kod etika.
- Secara tidak langsung, kod etika mendisiplin ahli-ahli supaya berpegang kepada prinsip yang dipersetujui oleh semua yang terlibat.
3.
Memelihara Maruah Profesion:
- Kod etika memelihara maruah profesion dengan memberi imej positif kerana setiap ahli terikat dengan satu standard etika yang tinggi.
- Masyarakat lebih yakin tentang sesuatu profesion jika terdapat kod etika yang menjelaskan tingkah laku yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan.
- Kod etika merupakan satu panduan kepada ahlinya mempertahankan integriti profesion masing-masing yang menjelaskan bahawa setiap ahli perlu menggunakan pengetahuan yang dimilikinya untuk meningkatkan kesejahteraan manusia dengan memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai.
4. Mengelakkan Berlakunya Konflik:
- Kod etika dapat mengelakkan daripada berlakunya konflik dan rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli sesuatu profesion atau pihak lain yang berkaitan. Jika seseorang ahli didakwa atau diragui oleh pihak tertentu tentang apa yang dilakukan, maka dia boleh menggunakan kod etika untuk menyokong tindakannya. Iaitu, meyakinkan yang terlibat bahawa perkara yang telah dia lakukan tidak salah disisi kod etika.
Ringkasnya, etika professional adalah untuk memberi inspirasi,
galakan dan sokongan kepada ahlinya. Etika professional lebih menumpukan kepada
dimensi perlakuan yang positif sebagai panduan tingkahlaku yang paling sesuai
untuk diamalkan oleh seseorang profesional. Semua etika profesional yang diguna
pakai diseluruh dunia dalam bidang-bidang seperti perubatan, guaman,
perniagaan, perakuanan dan kejuruteraan mempunyai asas-asas etika yang sama.
Ini kerana tujuan kod etika dibentuk adalah digunakan untuk diri dan masyarakat
amnya.
3.4
Kod Etika Perguruan
Profesion perguruan sememangnya mempunyai kod etikanya tersendiri
demi memartabatkan profesion. Kod etika perguruan dijadikan rujukan oleh guru. Kepentingan
kod etika tidak dapat dinafikan lagi kerana adanya kod etika para guru dapat
menjaga tingkah laku sebagaimana yang patut diamalkan oleh seorang guru, Pengetahuan
tentang etika profesion perguruan adalah amat penting dalam menjalankan tanggungjawab
sebagai guru kerana terdapat guru-guru yang masih melanggar tatasusila
perguruan yang harus dielakkan. Di halaman depan Buku Persediaan Mengajar
dipaparkan ikrar agar semua guru mamatuhi dan menjaga imej profesion.
3.5 Tatasusila Kod Etika Profesion Guru Malaysia
I. TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
- Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
- Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
- Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
- Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
- Menunjukkan satu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
- Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggitingginya
II. TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
- Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
- Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.
- Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
- Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
- Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan eknonomi ibu bapa pelajar.
- Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.
III. TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN
NEGARA
- Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat, negara atau pun yang bertentangan dengan Rukun Negara.
- Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
- Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
- Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
- Memberi sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
- Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.
IV. TANGGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT
DAN PROFESION
- Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar.
- Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
- Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
- Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang beru dalam profesion keguruan
- Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan.
- Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
CATATAN:
Guru yang dimaksudkan dalam
konteks tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di
sesebuah institusi peringkat rendah, menengh dan tinggi, termasuk guru terlatih
yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.
[sumber: Kementerian Pelajaran
Malaysia. http://www.moe.edu.my]
3.6 Perintah-Perintah Am Kerajaan
Guru sebagai pegawai perhidmatan awam tertakluk kepada
Perintah-Perintah Am Kerajaan (Government General Orders) (Lihat Rajah
3.4). Perintah-Perintah Am terdiri daripada bab-bab berikut:
Bab A : Lantikan dan
Kenaikan Pangkat
Bab B : Elaun-elaun dan
Kemudahan dalam Perhidmatan
Bab C : Cuti
Bab
D : Peraturan-Peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan dan Tatatertib)
Bab E : Rumah dan Bangunan
Pejabat Kerajaan
Bab F : Perubatan
Bab G : Waktu Bekerja dan
Lebih Masa
Tumpuan ialah kepada Bab D yang membincangkan perkara-perkara yang
berkaitan kelakuan, tugas kawalan dan pengawasan tatatertib, prosedur
tatatertib, hukuman, penahanan kerja dan penggantungan kerja, penamatan demi kepentingan
awam dan pelbagai perkara yang lain.
(a)
|
Membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan persendiriannya
|
|
(b)
|
Berkelakuan sedemikian cara mungkin menyebabkan kepentingan persendiriannya
bercanggah dengan tugas awamnya
|
|
(c)
|
Berkelakuan yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah:
|
|
|
(i)
|
Membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengantugas tugas
awamnya hinggamenjejaskan kegunaannya sebagai pegawai awam; atau
|
|
(ii)
|
menggunakan kedudukan awamnya untuk faedahnya sendiri
|
(d)
|
Berkelakuan sedemikian hingga memburukkan nama atau mencemarkan
nama perkhidmatan awam
|
|
(e)
|
Kurang cekap atau kurang berusaha
|
|
(f)
|
tidak jujur atau amanah
|
|
(g)
|
tidak bertanggungjawab
|
|
(h)
|
Membawa atau cuba membawa apa-apa pengaruh atau tekanan luar
untuk menyokong tuntutan berhubung dengan perkhidmatan sama ada tuntutan sendiri
atau tuntutan anggota - anggota perkhidmatan awam yang lain
|
|
(i)
|
Ingkar Perintah atau berkelakuandengan apa - apa cara yang boleh
ditafsirkan sebagai engkar perintah
|
|
(j)
|
Cuai dalam melaksanakan tugasnya
|
Perkara (a) hingga (j) di
atas dengan jelas menghuraikan tingkah laku yang tidak seharusnya ditunjukkan
oleh seorang pegawai yang bertanggungjawab dan berwibawa.
3.7 Etika Kerja
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mendefinisikan “Etika Kerja”
sebagai panduan tingkah laku yang menjadi pegangan setiap warga kementerian di
tempat kerja massing-masing. Kementerian. Guru yang berkhidmat di bawah naungan
Kementerian Pelajaran Malaysia tertakluk kepada etika kerja KPM. Pembentukan Etika
Kerja KPM terbahagi kepada dua komponen utama:
- Prinsip Etika Kerja
- Nilai-nilai Etika Kerja
A) PRINSIP ETIKA KERJA
Etika Kerja yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
berlandaskan LIMA prinsip yang utama (Lihat Rajah 3.4).
Rajah 3.4: Prinsip Etika Kerja Guru |
1. Niat Yang
Betul (Right Intentions)
Prinsip pertama, guru yang menjalankan kerjanya dengan “niat yang
betul‟ akan memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan, misi,
matlamat dan objektif institusi serta agama dan negara. Amalan prinsip ini
menyumbangkan kepada mutu pendidikan serta semua pihak berkepentingan.
2. Perlakuan
yang baik (Good Behaviour)
Prinsip kedua, guru mesti melakukan tugas dengan sempurna ke
arah mencapai hasil berkualiti samping memperbaiki imej profesion. Ia juga
mestilah menunjukkan penampilan diri, pertuturan dan perbuatan yang
terbaik sepanjang masa, sambil memberi layanan yang baik kepada
pelanggan.
3. Penggerak
ke arah kebaikan (Driving force towards Goodness)
Prinsip ketiga, guru hendaklah menjadi penggerak ke arah kebaikan.
Dia hendaklah menampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju
berdaya saing dan dapat mendorong orang lain melakukan kebaikan dan
kemuliaan. Dia harus boleh menjadi sumber inspirasi kepada rakan sejawat
dan berusaha ke arah menjadi pekerja yang terbaik dan cemerlang.
4. Memperkotakan
apa yang dikata (Delivers what is Promised)
Prinsip keempat, guru hendaklah sentiasa berusaha melaksanakan
apa yang dikata. Justeru itu, ia hendaklah sentiasa menunjukkan ketekalan
dalam pengucapan dan tindakan, sama ada terhadap diri sendiri atau orang
lain. Ia itu, menepati apa yang dinyatakan dalam piagam pelanggan.
5. Berdisiplin
dan Beradab (Disciplined and Civil)
Prinsip kelima, guru hendaklah mengamalkan budaya berperaturan (mengikut
peraturan), berdisiplin dan beradab (seperti terdapat dalam ajaran
agama). Erti kata lain, guru sentiasa mematuhi peraturan dan arahan-arahan perkhidmatan
dan mengamalkan tatacara kehidupan yang berpandukan prosedur dan kaedah yang
sesuai dan betul selari dengan peraturan masyarakat.
B) NILAI-NILAI ETIKA KERJA
Cheryl Peppers dan Alan Briskin (2000) dalam buku mereka “Bringing
your Soul to Work: An Everyday Practice” menyatakan bahawa telah satu
gelombang pembaharuan yang mendesak unsur-unsur kerohanian di bawa ke tempat
kerja. Kita
telah bincang dalam Bab 2, bahawa ahli-ahli falsafah seperti
Al-Farabi, Confucius, Vivekananda, Plato dan Dewey telah menyebut pentingnya
nilai-nilai murni diamalkan oleh pendidik di institusi-institusi pendidikan.
Namun Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengenal pasti TUJUH nilai utama
yang menjadi teras dan fokus Etika Kerja (Lihat Rajah 3.5).
Rajah 3.5: Nilai-Nilai Etika Kerja Guru |
1. Amanah (Trust)
Seorang warga pendidik hendaklah mempunyai sifat bertanggungjawab
dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya. Justeru
itu, ia mestilah menjalankan tugas yang diberi dengan penuh tanggungjawab
tanpa penyelewengan dan cuai. Seorang pendidik mempunyai sikap jujur dan
setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Ia menggunakan
masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan tugas dalam tempoh yang
ditetapkan serta tidak menggunakan masa kerja untuk urusan peribadi. Seorang
guru juga hendaklah berdisiplin serta mengawal diri dan tidak melakukan
sesuatu kerja yang membolehkan ia hilang kepercayaan orang lain terhadap
dirinya. Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa merupakan
satu sifat amanah yang amat dituntut.
2. Benar (Truth)
Seseorang guru mestilah mempunyai niat dan perbuatan yang
ikhlas serta benar. Ia mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan
sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang tersembunyi atau pun mengharapkan balasan.
Guru mestilah bercakap benar dan menepati janji. Ia seharusnya
bersedia untuk mempelajari atau menerima nasihat orang lain dengan tidak
bersikap sombong atau angkuh. Seorang guru juga mesti memberi dan menerima
arahan yang jelas dan tepat serta tidak mengelirukan. Ia boleh berkongsi
pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.
3. Bijaksana
(Thoughtful)
Guru hendaklah menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam
membuat
keputusan dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan. Ia
haruslah menggunakan seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk
menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah.
Guru mestilah berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti
serta sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalismenya. Ia
juga mestilah mempunyai fikiran yang rasional serta pertimbangan yang
saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan
emosi.
4. Bersyukur
(Thankful)
Guru hendaklah mempunyai perasaan dan perlakuan yang menghargai
nikmat dan pemberian yang diterimanya tanpa
menganggap kejayaan sebagai hak dirinya. Ia mestilah bersedia memberi
pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, dendam
atau menabur fitnah. Seorang guru mempunyai sifat yang tenang dalam
menghadapi masalah serta rela menerima kegagalan dan tidak mudah berputus
asa. Ia seharusnya berpuas hati dengan nikmat yang diperolehinya seperti
ganjaran yang diterima dan kemudahan yang disediakan.
5. Dedikasi
(Dedication)
Seorang guru hendaklah berminat dan rela mengorbankan masa dan
tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Maka, ia
seharusnya bekerja tanpa jemu dan bosan serta bersedia untuk menerima
tugas dengan tidak mencari helah. Dia sanggup berkorban demi
kepentingan perkhidmatan, tekun, rajin dan bersikap positif dalam
melaksanakan tugas dengan mendapat hasil yang berkualiti. Ia mestilah seorang
yang sabar, bertanggungjawab, teliti, ceria, tidak cuai atau merungut dalam
menjalankan tugas.
6. Ikhlas
(Sincere)
Seseorang guru mestilah berhati suci dalam menunaikan
tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan
ganjaran. Dia menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat
sekolah, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang
lain. Seorang guru dapat memberi layanan yang baik, tanpa mengira pangkat,
status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih dalam menjalankan tugas.
Ia haruslah bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan
fikiran yang terbuka. Seorang guru juga seharusnya saling hormat-menghormati
antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan diri.
7. Penyayang
(Caring)
Seorang guru mestilah menghargai dan mengambil berat terhadap
pelanggan. Dia mempunyai sifat pemaaf dan penyayang, tidak sombong
dan suka meninggi diri. Guru seharusnya menganggap setiap orang mempunyai
harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk. Ia
bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan
tugas. Menjadikan sekolah sebagai sebuah keluarga besar yang penuh
kemesraan serta bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas
seharian.
3.8 Isu-Isu Etika
Rajah 3.6: Beberapa Jenis Salah Laku Guru |
Sering kali kita membaca dan mendengar di media tulis dan
elektronik berkenaan salah laku guru (Lihat Rajah 3.6).
Masyarakat kini sudah peka dan mula memandang serius tentang
tingkah laku guru kerana sedikit sebanyak menjejaskan profesion perguruan.
Perlu ditegaskan bahawa peristiwa-peristiwa sedemikian hanya melibatkan
segelintir daripada 450,000 guru di Malaysia.
a) Berniaga Di Sekolah
Terdapat kes-kes di mana bilik guru menjadi kawasan pernigaan. Ada
antara guru yang ghairah berniaga sampai lupa dan mengabaikan tanggungjawab
mereka. Ada pula guru yang menjalankan perniagaan dari boot kereta! Tindakan guru
sedemikian menjejaskan imej profesion yang begitu mulia. Guru sepatutnya
melaksanakan tangggungjawab sebagai pendidik di dalam bilik darjah dan bukan
menjalankan perniagaan di sekolah. Amalan ini melanggar kod etika perguruan dan
Perintah Am.
b) Kerja Sambilan
Sebahagian besar guru di Malaysia adalah pegawai kerajaan (kecuali
guru di sekolah swasta) dan tertakluk kepada Perintah Am dan tatalaku. Oleh
itu, guru perlu memohon kelulusan untuk membuat kerja sambilan. Kelulusan hanya
akan diberikan jika kerja sambilan itu tidak bercanggah dengan dengan peraturan
yang ditetapkan. Contohnya, kerja sambilan tidak itu tidak dilakukan pada waktu
bekerja dan tidak menjejaskan tugas hakiki mereka. Kerja sambilan yang kerap
dilakukan guru ialah mengadakan kelas tuisyen.
Guru mengadakan kelas tambahan untuk menambahkan pendapatan.
Mengikut pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (Surat Pekeliling
Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006). Berikut ialah garis panduan
serta syarat meluluskan pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga
pengajar sambilan:-
- pemohon hendaklah terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah disahkan dalam jawatan;
- permohonan hendaklah sampai kepada Pihak Berkuasa Meluluskan sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum khidmat tuisyen atau mengajar secara sambilan bermula;
- pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga pengajar sambilan hendaklah tidak melebihi 4 jam seminggu;
- pemohon hendaklah memperoleh markah prestasi tahunan yang tinggi iaitu bersamaan atau melebihi 80% bagi tahun yang sebelumnya;
- pemohon adalah dilarang sama sekali melakukan khidmat tuisyen di dalam syarikat atau pusat tuisyen yang dimiliki oleh mana-mana ahli keluarga termasuk yang mana dikhuatiri mempunyai kepentingan peribadi;
- pemohon dilarang sama sekali mengedar atau mempromosi pusat tuisyen atau seumpama dengannya, dengan sebarang bentuk cara termasuklah melalui risalah atau secara lisan kepada pelajar;
- pemohon yang diluluskan dengan kebenaran hendaklah memberi khidmat tuisyen di pusat-pusat tuisyen yang berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing;
- khidmat mengajar yang diberikan tidak mengganggu tugas rasmi pegawai sebagai guru dan dijalankan di luar waktu pejabat;
- pemohon tidak dibenar menggunakan kemudahan peralatan pejabat untuk tujuan menjalankan aktiviti mengajar secara sambilan
[sumber: Surat Pekeliling Perkhidmatan
Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.1/2006]
c) Gangguan Seksual dan Rogol
Gangguan seksual di tempat kerja diertikan sebagai apa jua
kelakuan berunsur seksual yang tidak diingini oleh mangsa dan boleh dianggap
sebagai satu pencabulan maruah atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya
(Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual Di Tempat Kerja 1999.
Kementerian Sumber Manusia Malaysia). Gangguan seksual terdiri daripada
gangguan secara lisan (seperti usikan atau gurauan berunsur seks), gangguan
bukan lisan (seperti isyarat tangan yang membayangkan perlakuan seks) gangguan
visual (menunjukkan bahan lucah), gangguan psikologi (seperti mengulangi
jemputan yang tidak dilayani) dan gangguan fizikal (seperti sentuhan yang tidak
diingini). Hubungan guru dan pelajar adalah suci dan seperti dibincangkan dalam
Bab 2, guru berperanan sebagai “Pengganti Ibu Bapa”. Malangnya segelinter guru
telah mengambil kesempatan dan melakukan jenayah yang sungguh kejam, iaitu
merogol pelajar, termasuk murid sekolah rendah. Seperti kata pepatah “Harapkan
pagar, pagar makan padi”. Bayangkan masa depan mangsa yang dirogol.
Kemungkinan trauma yang dialami akan kekal sepanjang hayat hingga dewasa. Kanun
Keseksaan Malaysia menjadikan sebarang hubungan seksual dengan individu di
bawah umur 16 tahun sebagai rogol, sama ada dilakukan dengan kerelaan mangsa
atau tidak. Ini juga disebut sebagai rogol statutori (statutory rape).
Ini bermakna tidak kira apa juga alasan yang diberikan, jika didapati mangsa
itu di bawah umur 16 tahun ketika hubungan seks itu dilakukan, maka ia adalah
jenayah rogol. Sementara itu hukuman yang boleh dikenakan ke atas orang
disabitkan kesalahan dengan jenayah rogol terdapat dalam Seksyen 376 Kanun
Keseksaan iaitu: "Barang siapa melakukan rogol hendaklah dihukum
penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan
hendaklah kenakan hukuman sebat."
d) Diskriminasi dan Layanan Tidak Adil
Diskriminasi secara ringkasnya berlaku apabila seorang pelajar itu
dilayan dengan cara yang kurang menyenangkan oleh guru atau pihak pentadbiran
sekolah. Kod etika perguruan menekankan bahawa;
“Guru
haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid
tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik,
tempat asal, asal-usul keluarga, intelek, akademik dan status-status lain”
|
Prinsip ini jelas bahawa guru yang beretika akan mengamalkan
keadilan dan mewujudkan peluang pengajaran-pembelajaran yang sama kepada semua
pelajar yang amat penting dalam perkembangan dan kemajuan pendidikan selaras
dengan Falsafah Pendidikan Negara (Foo Say Fooi 2005; Noriati A. Rashid, Lee
Keok Cheon, Zulkufli & Zakiah Noordin, 2012).
e) Mengabaikan Pelajar Pencapaian Akademik
Rendah
Sistem pengaliran (streaming) diamalkan oleh
sekolah-sekolah di mana pelajar ditempatkan ke kelas-kelas tertentu berdasarkan
pencapaian akademik mereka. Ada sekolah yang mengamalkan sistem pengaliran
dengan menagihkan pelajar berdasarkan pencapaian akademik. Contohnya, jika
terdapat 7 kelas dalam Tahun Enam, pelajar ditempatkan dari kelas 1 hingga 7
berdasarkan pencapaian akademik mereka. Pelajar pencapaian tinggi akan
ditempatkan di Kelas 1 manakala pelajar pencapaian akademik paling rendah
ditempatkan di Kelas 7. Kadang kala, kelas-kelas ini diberikan nama-nama
seperti “Anggerik‟, “Mawar‟, “Jujur‟, “Amanah‟ dan sebagainya. Apa nama yang
berikan pun, warga sekolah mengetahui manakah kelas yang terdiri daripada
pelajar pencapaian akademik rendah. Mungkin pelajar-pelajar ini tidak boleh
membaca dan mengira pada tahap yang kehendaki walau pun sudah berada di Tahun
Enam. Rasional kebanyakan sekolah mengamalkan sistem sedemikian adalah untuk memudahkan
guru mengajar dan menangani masalah disiplin pelajar di dalam sesuatu kelas
(Foo Say Fooi, 2005). Soalan yang timbul, ialah sama ada amalan ini berfaedah kepada
pelajar. Kemungkinan pelajar yang ditempatkan dalam kelas yang pencapaian akademik
rendah di sekolah rendah akan berada di kelas yang sama di sekolah menengah hingga
Tingkatan 5. Bayangkan sikap, perasaan dan personaliti seorang individu yang
ditempatkan bersama dengan pelajar-pelajar pencapaian akademik rendah selama 11
tahun! Apakah sikap guru yang mengajar pelajar-pelajar ini?
Walaupun seorang
profesional itu terikat dengan undang-undang dan kod etika profesional, masih
ramai di antara mereka melakukan amalan yang tidak sihat. Perbuatan-perbuatan
yang tidak beretika jika tidak dibendung akan berleluasa hingga menjejaskan
profesion perguruan dan persepsi masyarakat. Selain perlaksanaan undang-undang,
amalan kepercayaan agamanya adalah sangat penting kerana ianya dianggap sebagai
benteng utama dari melakukan perkara-perkara yang tidak beretika.
RINGKASAN
- Etika berasal daripada perkataan Greek „ethos‟ yang bermakna watak atau adat resam.
- Etika merupakan salah satu bidang falsafah yang mengkaji tentang “betul‟ dan “salah‟ dalam kehidupan seharian manusia.
- Kod etika professional adalah salah satu 'alat kawalan' sosial yang digunakan sebagai panduan mengawal selia tingakah laku ahli sesuatu profesion.
- Seorang profesional yang mempunyai kesedaran etika yang rendah akan mudah terjerumus dalam perbuatan salah laku (tidak beretika)
- Kod etika memberi satu gambaran positif tentang imej sesuatu profesion kerana setiap ahli terikat dengan satu standard etika yang tinggi.
- Kod etika menggariskan standard tingkahlaku yang harus dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya supaya kepentingan semua pihak terpelihara.
- Guru hendaklah berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti.
- Empat fungsi kod etika profesional ialah sebagai pedoman, memelihara profesion, mencegah & mendisiplin dan mengelakkan konflik.
- Tatasusila kod etika perguruan terdiri daripada tanggungjawab terhadap pelajar, rakan sejawat, masyarakat dan ibu bapa.
- Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mendefinisikan “Etika Kerja” sebagai panduan tingkah laku yang menjadi pegangan setiap warga kementerian di tempat kerja massing-masing.
- Sebahagian besar guru di Malaysia adalah pegawai kerajaan (kecuali guru di sekolah swasta) dan tertakluk kepada Perintah Am dan tatalaku.
- Sistem pengaliran (streaming) diamalkan oleh sekolah-sekolah dimana pelajar ditempatkan ke kelas-kelas tertentu berdasarkan pencapaian akademik mereka.
- Gangguan seksual di tempat kerja diertikan sebagai apa jua kelakuan berunsur seksual yang tidak ingini oleh mangsa dan boleh dianggap sebagai satu pencabulan maruah atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya.
Sekiranya anda perlukan maklumat ini dalam bentuk PDF, sila klik link di bawah:
RUJUKAN
Baumhart, R. (1968). Ethics in Business. Boston: Holt, Rinehart
& Winston. Boston
Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur, 1991.
Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam, Institut Tadbiran Awam
Negara, Kuala Lumpur, 1991.
Kecemerlangan Pentadbiran (Dasar Dan Amalan Dalam Islam), Institut
Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur, 1991.
Kementerian Sumber Manusia. (1999). Kod Amalan Mencegah Dan
Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat
Kerja. Kuala Lumpur.
Laporan Seminar Etika Pengurusan, 13 Mac 1990, Institut Latihan Pengurusan
Petronas, Bangi, Selangor.
Laporan Seminar Etika Profesion Pensyarah Dan Amalan Harian, 13
April 1987, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.
Laporan Seminar Kebangsaan Etika Professional, 20-21 Oktober 1992,
Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Peppers, C. & Briskin, A. (2000). Berrett-Koehler Publishers
(August 30, 2000)
Mohd. Janib Johari (2001). Etika Profesional. Johor Baru: Penerbit
UTM Press.
Mackie, J (1977). Ethics: Inventing Right and Wrong., Viking
Press,
Velasquez, M. & Andre.
C., Shanks. T, & Meyer.M. (1987). Issues in Ethics IIE Vol.1 (1).
guru merupakan insan yang mulia kerana ilmu yang diberikan itu amat berharga. jadi guru ni perlu banyak bersabar. so, teruskan perjuangan sebagai guru kerana besar pahalanya
ReplyDeleteDear Admin, Boleh saya share info dari Etika Perguruan ini dalam ceramah pendidikan saya di Sekolah? Mohon kebenaran ya.
ReplyDeleteTerima kasih atas informasi yang sangat bermanfaat. Mohon halalkan perkongsian ini untuk digunapakai.
ReplyDelete